Bekas TYT Sabah Tun Ahmadshah Abdullah meninggal dunia

KOTA KINABALU : Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah meninggal dunia pada jam 8.45 malam tadi.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan secara rasmi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam kenyataan malam tadi.

“Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dan bendera negeri Sabah akan dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Allahyarham Ahmadshah yang pernah menjawat jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, dikenang atas sumbangan besarnya kepada pembangunan negeri dan perpaduan rakyat Sabah.

Safar turut menyampaikan ucapan takziah mewakili seluruh jentera pentadbiran negeri kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham, 78, merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-9 (1 Januari 2003-31 Disember 2010).