KOTA KINABALU: Dua syarikat perkhidmatan minyak dan gas antarabangsa, Halliburton dan DPI Group telah bekerjasama dengan syarikat tempatan, Jalinan Enigma Sdn Bhd untuk menawarkan penyelesaian bagi sektor minyak dan gas di Sabah.
Delegasi daripada ketiga-tiga syarikat tersebut, yang diketuai Naib Presiden Kanan Halliburton Asia Pasifik, Martin White, memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa pertemuan mereka di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Mereka turut membentangkan skop kerja mereka kepada Ketua Menteri yang merangkumi intervensi, pengurusan pasir dan air bagi meningkatkan pengeluaran telaga.
Turut serta dalam delegasi itu ialah Pengarah Urusan DPI Group, KY Doucet dan Pengerusi Jalinan Enigma, Yong Khen San serta pengarah-pengarahnya, Kurunsikumaran, Abdul Fatakh Othman dan Clive Jublee.
