KOTA KINABALU : Litar pintas punca kebakaran sehingga mengakibatkan dua terkorban membabitkan sebuah rumah di Kampung Pulau Penampang, Manggatal, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 5.15 pagi itu mengorbankan seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan, masing-masing ibu mertua dan cucu kepada pengadu.
Katanya, ketika kejadian, pengadu sedang berehat di kaki lima rumah sebelum terdengar bunyi letupan dari arah dapur.
“Pengadu menyedari bahagian dapur rumah mula terbakar dan cuba memadamkan api bersama ahli keluarga, namun api marak terlalu pantas.
“Dua mangsa terbabit dipercayai terperangkap dalam salah satu bilik di rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Kasim berkata, keluarga pengadu segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan dan pasukan bomba serta polis segera bergegas ke lokasi kejadian.
“Selepas kebakaran berjaya dikawal, pihak hospital mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala empat lagi penghuni lain berjaya menyelamatkan diri,” jelas Kasim.
Menurutnya, rumah tersebut dihuni seramai enam orang terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan.
“Hasil siasatan awal pihak bomba mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di bahagian dapur.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta kematian,” katanya.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.