KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 125 orang daripada 38 keluarga pagi ini berbanding 54 orang daripada 17 keluarga malam tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kota Belud dan Sipitang.
Katanya 37 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol di Sipitang, manakala 88 mangsa lagi ditempatkan di tiga lagi PPS di Kota Belud.
Sebanyak 40 kawasan di Kota Belud dan 13 kawasan di Sipitang terjejas selepas hujan berterusan menyebabkan paras air sungai naik dan melimpah ke kawasan kampung yang berdekatan.
Keadaan cuaca di daerah berkenaan tidak hujan namun semua agensi penyelamat sentiasa bersiap siaga jika berlaku sebarang pemindahan ke PPS.
— BERNAMA