KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, mencadangkan rakyat diberi kuasa menentukan sama ada wakil rakyat kawasan mereka yang melompat parti, perlu diganti atau dikekalkan.
Azalina berkata, satu mekanisme melalui Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu diwujudkan supaya senarionya lebih terbuka, kerana tidak semua wakil rakyat yang melompat parti itu sebenarnya mahu berbuat demikian.
“Mekanisme mesti ada kerana tidak semestinya yang pergi itu atas alasan hanya kerana lompat (parti), kemungkinan dipecat atau berlaku disebabkan kerajaan gabungan.
“Apa yang kita hendak wujudkan ialah satu sistem di mana dia (wakil rakyat) tidak boleh hanya lompat sesuka hati bila-bila masa. Perlu ada mekanisme, dan mekanisme paling penting serta wajar ialah rakyat menjadi penentu kepada pengganti.
“Saya percaya tidak semua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti akan mewakili parti politik, kemungkinan ada sebagai calon Bebas.
“Jadi, takkan jika dia bergabung (dengan parti) selepas menang, kerusi itu terus ‘digugurkan talak’, kenalah diberikan ‘edah’ kepada pengundi, yang mana kemungkinan dia masuk kepada pihak disokong pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian laporan Berita Harian ketika membahaskan usul junjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.