Agong buka sidang Parlimen pada 6 September

KUALA LUMPUR: Istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 6 September ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata istiadat itu akan berlangsung pada jam 10 pagi di Bangunan Parlimen Malaysia.

“Mesyuarat pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September 2021.

“Mesyuarat Kedua pula berlangsung selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azhar Azizan berkata, Takwim Dewan itu diputuskan selepas menerima pemakluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis selaras dengan Peraturan 11(2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, berkata Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Katanya, persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.