KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan Ahli Parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) belum memutuskan akan hadir atau sebaliknya, pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen yang dijadual bermula 26 Julai ini.
Pengerusi PEJUANG mendakwa sidang khas itu bukan persidangan Parlimen sebenar, namun hanya majlis taklimat jika tiada sesi pembentangan usul dan perbahasan dibenarkan.
Katanya, beliau dan tiga Ahli Parlimen dari PEJUANG mungkin hanya akan hadir sekiranya sesi perbahasan dan pembentangan usul dibenarkan.
“Kita nak tahu sama ada perbahasan ada atau tidak. Kalau ada usul akan hadir. Kalau tiada (sesi perbahasan), kami akan fikir hadir atau tidak.
“Itu kemudian. Belum ada keputusan mengenainya lagi,” katanya pada sidang media secara maya, disiarkan portal online Berita Harian.
Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan pemberitahuan Mesyuarat Khas dikeluarkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dengan persidangan berlangsung selama lima hari bermula 26 Julai hingga 2 Ogos depan.