Tiada istilah Kerajaan Gagal dalam tadbir urus negara: – Fairuz

KOTA KINABALU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerajui pemerintahan negara masa kini adalah kerajaan campuran sekali gus saling bekerjasama mengurus tadbir negara termasuk di saat berdepan pandemik Covid-19.

Ketua ARMADA BERSATU Sabah, Fairuz Renddan berkata, kerajaan Persekutuan adalah Kerajaan Perikatan Nasional terdiri daripada parti komponen termasuk BERSATU, UMNO, PAS manakala parti tempatan Sabah seperti STAR, SAPP, PBS dan PBRS.

“Semua kita bersatu dalam nama Kerajaan Perikatan Nasional untuk memfokuskan kepada penyelesaian masalah yang melanda seluruh negara kerana Covid-19….jadi kenapa wujud sesetengah pihak boleh melabel kerajaan kini sebagai kerajaan gagal.

“Pastinya jika ada yang berkata demikian, bermakna dia sendiri tidak melihat kerjasama semua dalam gabungan yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional dan bercakap tanpa ada rasional,”katanya di sini hari ini.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, sejak pengumuman darurat dibuat, semuanya adalah bertujuan menambah usaha bagi memulihkan semula keadaan semasa negara dari segi kesihatan dan keselamatan.

“Darurat diumumkan asalnya adalah bagi menangani pandemik Covid-19, dan ini semua adalah untuk kebaikan rakyat dan negara, apatah lagi keadaan ekonomi turut merudum apabila pandemik global ini mula menjejaskan semua sektor dan industri.

“Pada pandangan saya, tidak wajar jika ada pihak bercakap sembarangan tentang kerajaan sebagai kerajaan gagal, kerana usaha kerajaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan adalah tidak pernah henti-henti, dan semuanya demi melawan pandemik Covid-19 ini, sekaligus mensejahterakan rakyat,” tambahnya.

Fairuz mengajak semua pihak untuk bersama membantu usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19..

“Kita sekarang, fokus untuk pulihkan negara, pulihkan ekonomi, bantu rakyat, bangkit semula dan bebas dari belenggu Covid-19 yang sekian lama meruntun norma kehidupan kita, sehingga memaksa kita mengubah norma kita kepada norma baharu,” katanya.