Tun Musa seru rakyat Sabah perkukuh perpaduan

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru rakyat negeri ini agar terus memperkukuhkan semangat perpaduan, kebersamaan dan saling menghormati demi memastikan keharmonian yang dinikmati selama ini terus terpelihara.

Beliau berkata, Sabah amat bertuah kerana mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang hidup dalam suasana penuh toleransi serta saling menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya, keunikan tersebut merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara oleh seluruh rakyat kerana ia menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri.

“Dalam dunia yang semakin mencabar ketika ini, rakyat perlu terus memperkukuhkan semangat kebersamaan, saling membantu dan bertolak ansur.

“Saya percaya semangat perpaduan yang kukuh akan menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan serta kemajuan Sabah terus diperkasakan,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah.

Beliau turut menyeru rakyat agar memupuk nilai kasih sayang, persefahaman dan budaya muafakat serta mengetepikan segala perbezaan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Tun Musa berkata, Aidiladha juga menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, memperkukuhkan silaturahim dan menyemai sikap prihatin terhadap golongan yang memerlukan.