KOTA KINABALU: Dakwaan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal kononnya kerajaan Warisan berjaya membayar RM1 bilion hutang negeri pada 2019 rupa-rupanya tidak seperti yang digembar-gemburkan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, tampil dengan pendedahan yang mengubah segalanya – duit RM1 bilion itu bukan hasil pengurusan Warisan, tapi duit simpanan hasil perancangan kerajaan lama sejak 2014.
Menurut Nizam, segala-galanya bermula pada Disember 2014 apabila kerajaan negeri ketika itu menerbitkan Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019). Bank Negara Malaysia mensyaratkan agar sebuah Tabung Amanah Khas diwujudkan.
“Setiap tahun, kerajaan lama mencarum RM200 juta ke dalam tabung itu selama lima tahun tanpa gagal.
“Hasilnya, pada 2019, jumlahnya mencecah RM1 bilion, cukup untuk membayar penuh bon tersebut secara sekali gus – tanpa jejaskan kewangan negeri.
“Warisan cuma tekan butang terakhir untuk bayar guna duit yang sudah tersedia. Jangan putar belit sejarah dan tuntut kredit atas usaha orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewaj Undangan Negeri (ADUN) Apas menegaskan rakyat Sabah berhak tahu siapa yang merancang, siapa yang bekerja keras, dan siapa pula yang sekadar “claim” kejayaan.
Beliau mengingatkan agar rakyat tidak termakan naratif politik yang memutar fakta demi kepentingan peribadi, terutama menjelang pilihan raya.
Pendedahan ini kini hangat diperkatakan dan dijangka menjadi isu panas politik Sabah dalam minggu-minggu mendatang.
