KOTA KINABALU: Ratusan rakyat Sabah berhimpun di perkarangan Hospital Queen Elizabeth 1 malam tadi bagi menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina, kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam baru-baru ini.
Perhimpunan tersebut disertai Presiden Pertubuhan Memperkasa Anak Sabah (PERMAS), Shahzam Halik Zaman menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berundur selagi pelaku tidak dibawa ke muka pengadilan.
“Kami tidak datang untuk berdiam diri, kami datang untuk bersuara. Nyawa seorang anak kecil telah diragut, dan rasa percaya terhadap keselamatan anak-anak kita telah dicabuli,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shahzam berkata, beliau menegaskan tragedi itu bukan isu politik, agama atau bangsa, tetapi isu kemanusiaan yang memerlukan semua pihak bersatu menuntut keadilan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas ketegasan dalam menangani kes tersebut.
“Siapa pun yang terlibat — tanpa mengira pangkat, jawatan atau pengaruh — akan dihadapkan ke muka keadilan,” katanya.
Shazam memetik janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menegaskan PERMAS akan bertindak sebagai badan pemantau (watchdog) untuk memastikan siasatan tidak diganggu atau dilengah-lengahkan.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar Allahyarhamah ditempatkan di Jannah.
“Namun lebih dari itu, kami membawa semangat perjuangan demi masa depan anak-anak Sabah dan maruah kita semua. Kebenaran dan keadilan mesti menang,” tegasnya.
Perhimpunan semalam berlangsung dengan penuh emosi apabila keluarga mangsa dilihat melambai dari tingkap van jenazah sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai yang hadir memberi sokongan sebelum jenazah dibawa pulang ke Sipitang untuk dikebumikan semula.
