PRN Sabah: Ewon Benedick Ketuai Penyelarasan Pakatan Harapan Di Sabah – Anwar

KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Datuk Ewon Benedick akan mengetuai penyelarasan Pakatan Harapan (PH) Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ewon merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menyelaras program Pakatan Harapan di peringkat negeri Sabah.

Anwar mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) Sabah sebagai sebahagian program rasmi lawatan kerja beliau di Sabah selama dua hari.

“PH Sabah mempunyai empat ketua, mereka akan ke depan dan menyelaras dari segi keputusan nanti.

“Sekarang ini nampak mesyuarat semuanya berjalan, kita tidak rasa ada masalah dalam kalangan mereka, keempat-empat ke depan dan Ewon boleh selaraskan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Anwar berkata, beliau telah mendengar pandangan pimpinan PH pusat di Kuala Lumpur serta menerima input daripada rakan-rakan pimpinan PH Sabah yang terdiri daripada wakil-wakil KEADILAN, DAP, Amanah, dan UPKO.

“Tadi saya minta pandangan rakan-rakan pimpinan PH Sabah untuk menyusuli pandangan yang telah saya dengar petang tadi di Kuala Lumpur oleh pimpinan keadilan, DAP dan juga Amanah kerana Ewon ada di sini, Parti UPKO.

“Jadi pandangan kita ialah, bila saya datang, saya ambil kesempatan dengar dan pandangan daripada PH Sabah yang akan menentukan keutamaan, strategi, manifesto, kawasan dalam rundingan dengan rakan-rakan sama ada GRS atau BN yang kemudian memutuskan cadangan kawasan dan calon,” jelas Anwar.

Menurutnya, beliau lalukan semua ini untuk mendengar pandangan mereka tentang keutamaan dan akan membawa untuk perhatian rakan-rakan di peringkat pusat.

“Ini kerana keputusan kita adalah untuk menyerahkan pengendalian pilihan raya negeri ini kepada PH Sabah.

“Kejayaan pembangunan dan pembelaan nasib rakyat Sabah bergantung kepada hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” kata Anwar.

Beliau yakin jika mahu bela nasib negeri dan rakyat Sabah, hubungan di antara negeri dan Sabah dengan persekutuan harus erat berdasarkan, saling percaya mempercayai.

“Ini termasuk seperti mana hubungan baik kita dengan negeri lain seperti Sarawak kerana kekuatan dan hubungan negeri dan persekutuan yang sangat baik.

“Sebab itu saya mengusulkan supaya rakyat Sabah mengambil kira ini. Mesti ada jaringan yang lebih kuat dengan Sabah dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Anwar menegaskan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selama ini kita ambil berat, Ini bukan soal kerana ada pilihan raya negeri.

“Sebelum ini, sejak dua tahun lebih saya pegang (Perdana Menteri) kita bagi keutamaan MA63 yang dipengusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadilah dengan semua Menteri-Menteri dari Sabah dan Sarawak.

“Ini menunjukkan kesungguhan kita. Sebab itu kita boleh selesaikan sembilan perkara utama yang tertangguh selama puluhan tahun,” katanya.