KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meminta rakyat untuk sentiasa menghormati perbezaan bagi membina satu ikatan perpaduan yang lebih kuat.
Beliau berkata, ikatan perpaduan akan lebih kuat dan kukuh jika rakyat terus bersatu.
“Saya menyeru kepada rakyat untuk terus bersama Kerajaan sebagai rakan kongsi untuk perkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kelancaran pembangunan negeri yang tercinta ini.
“Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama tetapi juga untuk menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025, di sini semalam.
Hajiji berkata, Kaamatan adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Sabah.
“ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan.
“Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’, tema ini membawa mesej yang sangat mendalam dan inklusif,” jelas Hajiji.
Menurutnya, tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” katanya.
