KOTA KINABALU : Bekalan air dibekalkan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) lebih daripada mencukupi, tegas Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Menurutnya, keperluan air di UMS adalah 5 juta liter sehari (MLD) dan air yang dibekalkan ke Tangki R13 adalah lebih daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan itu.
Tegasnya, air di Tangki R13 tidak pernah kosong atau di bawah paras yang tidak membolehkan air dipam oleh UMS.
“JANS menasihatkan UMS untuk meningkatkan operasi pengepaman air yang mencukupi untuk keperluan harian mereka.
“Jika kapasiti pam semasa tidak lagi dapat menampung keperluan, maka UMS perlu menggantikan dengan pam yang berkapasiti tinggi atau yang lebih efisien bagi memenuhi keperluan yang dikehendaki,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kekecewaan mahasiswa terhadap sistem pengurusan keperluan asas di UMS, menyebabkan mereka tertekan dengan gangguan bekalan air yang sering berulang.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, gangguan masih berlaku kerana kemudahan telaga tiub dibina hanya mampu membekalkan 1 MLD sahaja, berbanding 5 MLD yang diperlukan warga kampus.
Mustapha turut menghubungi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk mengarahkan JANS memastikan kestabilan sumber air ke UMS.
Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk projek penggalian telaga tiub sebagai langkah alternatif membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di semua kolej kediaman UMS.
Semua projek berkenaan telah siap pada Julai tahun lalu.
Dalam pada itu, JANS berkata pihaknya difahamkan UMS sedang membina tangki dan pemasangan pam baharu bagi menangani isu air di UMS.