KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil langkah strategik untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Plus dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah.
Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, ini sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan dalam mengekalkan kestabilan politik negeri itu sebelum ini.
Katanya, keputusan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana GRS tidak pernah secara rasmi mengumumkan akan bertanding secara solo dalam PRN akan datang.
“Kerjasama ini adalah manifestasi balas budi kepada pemimpin PH-Plus yang tetap menyokong Kerajaan GRS selepas insiden ‘Langkah Kinabalu’ yang mencetuskan ketidaktentuan politik di Sabah.
“Pengumuman awal Sekretariat PH-BN Pusat untuk membentuk kerjasama menghadapi PRN Sabah mencetuskan persepsi GRS diketepikan, sekali gus memaksa GRS menilai semula kedudukannya dan mempertimbangkan untuk bertanding secara solo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, perkara ini turut membakar semangat slogan Sabah for Sabahan sekali gus adalah tidak wajar apabila pembangkang mempersendakan kenyataan Hajiji serta menuduh beliau tidak berani bertindak sendirian.
“Susulan pengumuman itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim (PMX) turun ke Sabah untuk mengadakan pertemuan bersama Hajiji, bagi membincangkan semula jajaran kerjasama antara GRS dan PH-Plus menjelang PRN.
“Pembangkang cuba mewujudkan persepsi kononnya berlaku perpecahan dalam GRS, hanya kerana wujud perbezaan pandangan antara sesetengah pemimpin parti berhubung kerjasama pilihan raya,” jelas Aksyah.
Menurutnya, sebagai parti yang matang dan berpengalaman, GRS menghormati perbezaan pandangan.
“Ini bukan petanda perpecahan, sebaliknya satu tradisi demokrasi dalaman yang memperkukuh parti.
“Kenyataan Presiden UMNO baru-baru ini menegaskan hanya ada satu nakhoda di Sabah merupakan satu kenyataan membayangkan wujud pergolakan dalaman dalam UMNO/BN sendiri,” katanya.
Beliau menyeru penyokong dan ahli GRS agar terus mendukung keputusan pimpinan parti demi kekuatan gabungan menjelang PRN akan datang.
“Hakikatnya, tanpa sokongan PH-Plus, GRS mungkin tidak akan menjadi parti yang memimpin kerajaan negeri hari ini. Maka, menghargai sumbangan mereka adalah tindakan wajar,” tambahnya.
