Pemimpin Umno Sabah cadang tubuh Badan BEBAS selami isu air di UMS – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Seorang pemimpin Umno Sabah mencadangkan agar satu badan BEBAS yang diiktiraf ditubuhkan segera bagi melihat isu air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga di tempat-tempat lain di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Umno Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata langkah itu penting  bagi memudahkan rakyat mendapat jawapan secara jelas apa sebenarnya yang berlaku mengenai isu air tersebut.

“Penafian demi penafian atau salah menyalah bukan satu perkara yang perlu kita angkat sebagai satu urus tadbir baik.

“Kita rakyat Sabah semua tahu mengenai isu air d UMS ini, sebab berapa kali ‘janji’ daripada tahun lalu tetapi ianya masih belum dapat ditunaikan dan sekarang timbul lagi ‘janji’ baru?

“Kita juga tahu banyak tempat lain d kawasan berdekatan dengan UMS juga terkesan dgn masalah sumber air bersih.

“Kita mesti lebih realistik yang terbeban teruk di sini ialah pelajar-pelajar dan kakitangan-kakitangan maka solusi tuntas mesti dapat di capai dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jeffery yang juga Ketua Umno Putatan berkata beliau menerima makluman awam  yang menyatakan bahawa dua pam di UMS itu berfungsi seperti biasa tetapi kedua-dua pam tersebut hanya mampu mengepam 2 hingga 4 MLD sahaja.

“Ini pun hanya tidak konsisten dan keperluan minima keseluruhan UMS ialah 5 MLD, jika betul masalah pam kenapa daripada dulu sewaktu ‘janji’ awal dibuat tidak menyatakan masalah pam.

“Saya melihat kenyataan ini yang lebih kepada penafian kesilapan satu-satu pihak. Tapi isu air d UMS masih juga tidak dapat diselesaikan,” katanya.