Buka pusat AI terawal di Sabah – Arifin

PAPAR : Pusat Kecerdasan Buatan (AI) terawal bakal diujudkan sebagai antara inisiatif menyokong ekosistem pembangunan digital di negeri ini.

Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah,  Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah strategik menuju transformasi teknologi dan ekonomi digital.

Mohd Arifin Mohd Arif

Katanya, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga akan terlibat dalam usaha melaksanakan program ini bagi memanfaatkan kepakaran dimiliki UMS dalam bidang AI.

“Kerjasama dengan UMS ini diharapkan mampu membantu usaha kita dalam membuka pusat AI di Sabah ini dan seterusnya memperkasa bidang berkenaan.

“Perkara ini juga akan dibawa ke Kabinet kerajaan negeri untuk diperkenankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  merasmikan Bengkel Penerangan Zon 5 dan Zon 6 di Beringgis Resort, Papar di sini semalam.

Arifin merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pelaksanaan sebuah pusat AI di Sabah penting dalam menyokong usaha kerajaan Pusat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data neutral.

“Penggunaan AI hari ini merupakan satu perkara yang tidak lagi boleh dielakkan khususnya melibatkan urusan harian terutama bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam.

“Penggunaan AI merupakan satu anjakan perubahan ke arah kualiti tinggi, produktif serta mampu melaksanakan tugasan lebih sukar serta berimpak tinggi,” jelas Mohd Arifin.

Menurutnya, semua ini mampu memperkasakan lagi pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan rakyat.