Ketua Penerangan perlu peka terhadap isu-isu semasa – Nizam

PAPAR : Semua ketua-ketua penerangan Gagasan Rakyat Sabah di peringkat akar umbi supaya peka dengan isu semasa  yang berlaku di negeri ini.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titiingan berkata, ini khususnya melibatkan fitnah serta dakyah pembangkang yang disebarkan melalui media sosial.

Nizam Abu Bakar Titingan

Katanya, mereka juga perlu cepat bertindak balas terhadap dakyah tersebut bagi mengelak daripada maklumat salah.

“Jika ketua-ketua penerangan ini lambat bertindak akhirnya ia akan menjejaskan kredibiti, imej parti dan kepimpinan GRS secara keseluruhannya.

“Jangan kita membiarkan isu-isu yang ditularkan terutama di media sosial begitu sahaja,” katanya

Beliau berkata demikian di majlis Bengkel Penerangan Zon 5 dan Zon 6 di Beringgis Resort, Papar di sini semalam.

Nizam merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, ini khususnya melibatkan berita berunsurkan fitnah dan provokasi.

“Terutama yang mengaitkan pemimpin dan parti tanpa fakta sebenar.

“Jangan jadikan kedai kopi sebagai tempat menyebar berita tidak betul. Ketua-Ketua Penerangan mesti cepat bertindak dalam perkara ini,” jelas Nizam.

Menurutnya, jika ketua penerangan tidak bertindak balas, berdiam diri maka seolah-olah mengiakan dan ini akan menimbulkan persepsi negatif serta salah faham kepada umum akhirnya turut menjejaskan imej serta kekuatan parti.