800 pelajar dan ibu bapa sertai Majlis Solat Hajat Perdana calon SPM 2023 Labuan

LABUAN: Lebih 500 pelajar dan 200 ibu bapa serta guru menyertai Majlis Solat Hajat Perdana dan Bacaan Yasin bagi medoakan 1,082 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperolehi kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan bermula pada hujung Januari ini.

Program diadakan di Masjid Sultan Abdullah Kampung Sungai Bedaun, pada Sabtu lalu itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha.

Turut menyertai solat hajat itu ialah 18 calon SPM dari Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dan 312 pelajar calon Sijil Tinggi Pelajar Malaysia (STPM).

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan Abidin Marjan, berkata program tersebut merupakan salah satu program yang telah ditakwimkan dalam kalendar jabatan dengan tema “Tekad SPM 100 peratus Kita Punya”.

“Ia juga untuk mendidik para pelajar mendekatkan diri serta memohon kepada Allah SWT agar diberi ketenangan dan kejayaan dalam SPM, disamping berdoa agar dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera seterusnya beroleh kejayaan yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, antara pengisian utama program itu ialah ceramah motivasi “From Zero To Hero’ yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kecemasan Hospital Labuan Muhammad Muqri Afifi Mazlan.

Sementara itu, Imam Masjid Sultan Abdullah Ustaz Sahrum Samlan mengetuai Solat Hajat manakala Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim mengetuai bacaan surah Yaasin.