Halang lori melalui jalan Kampung ‘Tanda Protes’ kepada perlombongan emas haram di Bukit Mantri Balung Tawau

TAWAU : Pusat Komuniti Kampung Balung Kokos tidak akan membenarkan lori tangki minyak syarikat yang menggunakan jalan kampung sebagai ‘Tanda Protes’ aktiviti perlombongan emas haram di Bukit Mantri Tawau.

Ini berikutan apabila kerajaan negeri masih gagal memberhentikan aktiviti perlombongan haram di kawasan terbabit.

Cikgu Kelana

Wakil Penduduknya, Kelana Benza berkata, laporan polis serta aduan kepada Jabatan Alam Sekitar sudah banyak dilakukan namun tiada tindakan diambil sekali gus dilihat aktiviti perlombongan ini masih beroperasi secara berleluasa.

Katanya, ketika ini secara terang syarikat terbabit secara haram tanpa mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta kelulusan Operational Mining Scheme (OMS) daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Halang lori melalui jalan Kampung ‘Tanda Protes’ kepada perlombongan emas haram di Bukit Mantri Balung Tawau

“Jika begini, jangan halang jika penduduk kampung sendiri menjalankan aktiviti ini, kerana ia merupakan hasil bumi yang boleh dijalankan secara sesuka hati tanpa ada kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Saya sendiri sudah membuat laporan polis entah mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil sehingga kilang perlombongan emas haram ini masih beroperasi, seolah-olah kebal daripada tindakan pihak berkuasa,” katanya kepada Sabah News Today di sini, hari ini.

Halang lori melalui jalan Kampung ‘Tanda Protes’ kepada perlombongan emas haram di Bukit Mantri Balung Tawau

Kelana berkata, sekiranya perlombongan ini gagal masih lagi gagal mendapatkan kelulusan, pusat komuniti Kampung Balung Kokos tidak akan membenarkan lori tangki minyak Wullersdorf Resources menggunakan jalan kampung kami.

“Hari-hari penduduk kampung menghidu habuk, jalan kampung rosak manakala hasil bumi di kampung kami diambil…..Apa yang penduduk kampung dapat hanyalah pencemaran sungai serta menyedut udara kotor.

“Saya mengusahakan perkhidmatan pelancongan, beberapa ketika kawasan ini ditutup kepada pengunjung akibat pencemaran air sungai yang sangat kritikal, sudah tentu ia sangat menjejaskan sumber pendapatan utama di kampung ini,” jelas Kelana.

Menurutnya lagi, mereka tidak membantah aktiviti perlombongan ini kerana ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung tetapi perlu ada dokumen yang sah.

“Tetapi pihak syarikat haruslah mengikuti semua garis panduan serta peruntukan yang termaktub dalam undang-undang sedia ada.

“Sekiranya ada lesen sudah tentu ada perlindungan insurans pekerja serta mengelak daripada kejadian yang tidak diingini berlaku di masa depan,” tambah Kelana.