700 orang sertai sambutan Maulidur Rasul di Semporna

SEMPORNA : Sambutan Maulidur Rasul merupakan acara tahunan yang di sambut di Daerah Semporna dengan penglibatan merangkumi Jabatan Kerajaan, agensi kerajaan, NGO serta wakil-wakil kampung yang terlibat.

Hampir 700 penduduk menyertai perarakan yang mengelilingi Pekan Semporna hingga ke Padang Pekan Semporna dengan melibatkan kira-kira penyertaan 40 kontinjen dari daerah ini.

Nizam Abu Bakar Titingan

Sambutan Maulidur Rasul ini telah dihadiri Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sekaligus merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Semporna.

Nizam berkata Maulidur Rasul adalah hari yang penting buat umat Islam kerana ia adalah hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Nizam bersama masyarakat Semporna dalam program sambutan Maulidur Rasul. Gambar Jabatan Penerangan Malaysia.

“Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang lazim diraikan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW.

“Semoga sambutan Maulidur Rasul ini dapat merapatkan ukhwah dan silaturrahim dikalangan masyarakat di daerah ini,” katanya.

Nizam menyampaikan sijil di majlis sambutan Maulidur Rasul di Pekan Semporna. Gambar Jabatan Penerangan Malaysia.

Nizam juga berharap sambutan ini dapat menerapkan nilai-nilai murni walaupun terdapat perbezaan idealogi dan pandangan tetapi harus bersama-sama demi menjaga kemakmuran negeri dan negara untuk terus bergerak ke
hadapan.

“Kita juga berharap mereka yang bertanggungjawab dengan aktiviti keagamaan di daerah ini dapat menganjurkan festival keagamaan dengan membawa tokoh dan penceramah terkenal secara langsung menjadi satu tarikan pengunjung luar ke daerah ini selain aktiviti pelancongan,” katanya.

Selain selawat, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian qasidah serta penyampaian Anugerah Khas dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah.

Turut hadir, Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew dan Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah.