KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengeluarkan 34 notis terhadap peniaga berkaitan pelbagai kesalahan sepanjang operasi ‘Op Bazar Ramadan’ bulan ini.
Pengarahnya, Dr Maria Suleiman berkata, notis dikeluarkan selepas peniaga didapati gagal mematuhi peraturan dalam mengendalikan makanan ketika berniaga di bazar Ramadan.
Katanya, setakat ini sebanyak 1,152 premis diperiksa iaitu melibatkan 17 daerah di seluruh negeri.
“Seramai 2,393 pengendali makanan di bazar Ramadan telah diperiksa dan seramai 2,325 atau 97.2 peratus orang didapati memiliki suntikan, 2,328 atau 97.3 peratus telah mendapat latihan pengendali makanan.
“Namun hasil pemeriksaan itu juga terdapat peniaga turut dikenakan tindakan kompaun dengan nilai RM5,200 melibatkan 34 notis,” katanya di sini semalam.
Maria berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada sijil latihan pengendali makanan sebanyak 11 kesalahan manakala berkaitan suntikan anti tifoid melibatkan lima kesalahan.
“Kompaun turut melibatkan pakaian pengendali makanan iaitu membabitkan sebanyak 16 kesalahan.
“Kesalahan yang ditemui termasuk memakai aksesori seperti cincin, gelang atau pin adalah tidak dibenarkan kerana boleh menjadi penyebar bakteria dan menyebabkan jangkitan,” jwlaa Maria.
Menurutnya, semua notis dan kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kesalahan Peraturan 33 (kebersihan diri pengendali makanan).
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” kata Maria.