PENAMPANG: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kabel di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, operasi dilaksanakan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama kakitangan Telekom Malaysia (TM) selepas memperoleh maklumat mengenai kegiatan berkenaan di Jalan Penampang Baru di sini.
“Hasil operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi Khamis itu berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berumur 23 hingga 30 tahun, yang disyaki terlibat dalam kes curi kabel Telekom bagi Daerah Penampang.
“Polis turut merampas beberapa barangan termasuk kabel Telekom dan pemotong besi yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Menurutnya, pihak polis menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah agar melaporkan segera ke balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.