30,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Hari Malaysia Di Sabah – Christina

KOTA KINABALU : Seramai 30,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Padang Merdeka di sini pada 16 September ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, beliau merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 berkata sementara menanti acara utama bermula, prapersembahan akan bermula seawal 5 petang hingga 7.30 malam diselang-selikan dengan ketibaan jemputan serta menampilkan persembahan artis.

“Penampilan khas maskot adiwira di kawasan tapak acara pasca persembahan akan diteruskan selepas persembahan bunga api dan keberangkatan pulang tetamu kehormat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Christina berkata antara acara yang dijadual berlangsung pada malam itu ialah menandatangani Buku Khas sambutan Hari Malaysia 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri

Hajiji Noor disaksikan oleh Liew dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024.

Beliau berkata bagi memberkati sambutan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) akan menganjurkan majlis bacaan yasin dan doa selamat di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang di sini.

Liew berkata penganut agama lain juga digalakkan untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara mengikut kepercayaan masing-masing.

Aktiviti lain termasuk pameran, bazar jualan, pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mencari harta karun di arkib negeri dan balai seni lukis, night at the archives, pertandingan e-sport, kuiz kenegaraan dan pertandingan melukis berkonsepkan tema “Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka”

“Wow factor” yang akan diketengahkan melibatkan persembahan kebudayaan yang unik, pertunjukan hologram, persembahan dron, pertunjukan cahaya dan bunyi serta elemen kreatif mencerminkan tema “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”

“Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar perayaan, ia pengiktirafan terhadap identiti dan jati diri kita sebagai bangsa berbilang kaum tetapi bersatu hati,” katanya.