KPDN Sandakan ambil tindakan empat peniaga pasar malam langgar peraturan Akta Timbang dan Sukat

SANDAKAN : Empat peniaga pasar malam bandar dikenakan tindakan, selepas didapati melanggar peraturan Akta Timbang dan Sukat kerana tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, semua peniaga ini dipercayai terlibat akan dikenakan tindakan dibawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

Katanya, hasil pemeriksaan pada 9 September lalu mendapati mereka masing-masing ada menggunakan satu unit alat timbang neraca spring yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

“Semua peniaga terbabit dikompaun RM200 setiap seorang. Sebanyak 102 Kenyataan Pemeriksaan Premis telah dikeluarkan semasa operasi pemeriksaan di pasar malam tersebut.

“Pemeriksaan menumpukan kepada pematuhan terhadap Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang Dan Sukat 1972,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azdy Zukkry berkata, fokus pemeriksaan adalah terhadap peniaga buah-buahan terutamanya durian bersifat bermusim termasuklah peniaga sayur di kawasan terbuka berhampiran Pasar Umum Sandakan.

Dalam perkembangan sama, Azdy berkata, sejak awal Januari sehingga hari ini, sebanyak 5,399 premis perniagaan diperiksa KPDN Cawangan Sandakan manakala sebanyak 158 kes dihasilkan

Cawangan ini.

“Nilai rampasan keseluruhan kes terbabit adalah berjumlah RM2,743,559.24. Jumlah nilai kompaun keseluruhannya adalah sebanyak RM44,300.

“Selanjutnya sejak awal tahun 2024 sehingga kini, dua kes telah didakwa di mahkamah yang mana kedua-dua kes berkenaan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan didenda keseluruhannya berjumlah RM24,000,” jelas Azdy Zukkry.

Menurutnya, sepanjang tempoh dari 1 Januari hingga 13 September  tahun ini sebanyak 113 aduan pengguna telah diterima di KPDN cawangan Sandakan.

“Daripada 113 aduan tersebut, 106 aduan (93.8 peratus) telah disiasat dan diselesaikan manakala baki tujuh aduan lagi sedang dalam siasatan,” kata Azdy Zukkry.