3 Pembantu Menteri baharu angkat sumpah jawatan hari ini – Hajiji

KOTA KINABALU: Tiga Pembantu Menteri baharu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelantikan serta rombakan beberapa jawatan melibatkan pembantu menteri merupakan usaha berterusan selaras dengan slogan ‘Sabah Maju Jaya’.

Katanya, langkah ini dilihat dapat  memantapkan serta mengukuhkan pentadbiran kerajaan di negeri ini.

“Pelantikan Pembantu Menteri mengisi dua jawatan dikosongkan Datuk James Ratib, selaku bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan kini dilantik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

“Manakala Datuk Jasnih Daya memilih untuk melepaskan jawatan Pembantu Menteri Kewangan bagi memberi laluan kepada pelantikan orang lain,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, bagi membina pasukan yang kuat beliau melantik Datuk Ruslan Muharam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri.

“Manakala Peto Galim dan Tan Lee Fatt daripada Pakatan Harapan (PH) masing-masing akan memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan dan Pembantu Menteri Kewangan untuk menambah pentadbiran inklusif sedia ada,” katanya.

Dalam masa sama empat Pembantu Menteri sedia ada terlibat dalam pertukaran portfolio termasuk Datuk Seri Dr Ruddy Awah selaku Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Datuk Harun Durabi selaku Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fairuz Renddan (Belia dan Sukan) manakala Datuk Andi Suryady Bandy (Pembangunan Perindustrian),” katanya.