KOTA KINABALU: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan meneruskan komitmen dalam memasyarakatkan ilmu dan perubatan khususnya di Negeri Sabah.
Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, untuk itu FPSK telah menggariskan beberapa perkara bagi memastikan FPSK terus relevan dan sentiasa signifikan dalam arus perkembangan semasa selari dengan aspirasi “Leading TowardsInnovative Societies” yang diketengahkan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.
“FPSK akan memastikan pembangunan aspek akademik klinikalselari dengan keperluan semasa masyarakat Sabah, selain mengukuhkan pembangunan modal insan pakar perubatan untuk dikongsi dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Pembangunan inovasi sosial melalui penyelidikan dan khidmat kepakaran fakulti juga akan diteruskan, termasuk melalui Makmal Hidup atau Living Lab yang menyaksikan FPSK sebagai fakulti pertama yang melancarkannya dalam satu acara perasmian RuralMedicine Research Lab di Pusat Pendidikan Perubatan DesaSikuati, Kudat pada 6 Januari lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aspirasi dan hala tuju beliau sebagai Dekan FPSK pada Majlis Perhimpunan Bulanan FPSK di Auditorium FPSK baru-baru ini.
Selain itu, Mohammad Saffree berkata FPSK turut merancang pelaksanaan program khas peluang pendidikan profesional di FPSK untuk pelajar kumpulan B40 di luar bandar Sabah yang dikenali sebagai program PROSPEK @MedicUMS.
“Kita juga mahu memperkasakan dan meamntapkan lagi program kesihatan komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sedia ada melalui persatuan dan kelab pelajar serta kumpulan pakar perubatan FPSK yang dikenali sebagai UMS Medscot.
“FPSK juga akan melihat pendekatan baharu bagi meningkatkan libatsama alumni kepada fakulti dan masyarakat,” ujar beliau