KOTA KINABALU: Hampir 20,000 pelajar golongan B40 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Sabah akan menikmati hidangan Menu Siswa Rahmah (MSR) pada harga berpatutan RM3.50, di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, jumlah itu membabitkan seramai 11,968 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), manakala 3,779 di UiTM Kampus Kota Kinabalu, 3,713 orang pelajar di Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Sandakan serta 161 UiTM Tawau.
Katanya, MSR adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meringankan beban kos sara hidup mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terjejas.
“Penyediaan MSR ini juga mengambil kira keperluan nutrisi asas termasuklah karbohidrat, protein, serat dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa di IPT.
“Pelaksanaan MSR ini juga adalah komitmen KPT untuk menyokong inisiatif Rahmah yang dilaksanakan kerajaan sekali gus bertujuan membantu golongan terkesan dengan lonjakan kos sara hidup.
“Program MSR di IPTA Sabah ini melibatkan pemberian moratorium atau pengecualian bayaran sewa premis, bayaran utiliti oleh pihak universiti dan politeknik kepada 22 pengusaha kafeteria, kiosk, gerai, penyedia perkhidmatan makanan sedia ada dan baharu di dalam kampus,” katanya di sini semalam.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohammad Yusof berkata, inisatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) menubuhkan Dapur HEP memberi banyak kebaikan terutama membantu pelajar berjimat cermat dalam perbelanjaan harian di kampus.
Dapur HEP diperkenalkan UiTM Kampus Kota Kinabalu akan diperluas di seluruh universiti di Malaysia dengan terdapat kelainan terhadap pelaksanaannya kerana dilaksanakan sekali dengan Dapur HEP.
“Mereka menyediakan hidangan nasi percuma sebanyak dua kali sehari kepada pelajar bagi membolehkan mereka berjimat dengan hanya membeli lauk yang tidak melebihi RM2.50 sahaja di kafeteria.
“Selain daripada penjimatan kos sara hidup, pelaksanaan Dapur HEP ini turut membuka peluang kesukarelawanan dan menggalakkan amalan saling membantu dalam kalangan pelajar berdasarkan konsep ‘dari pelajar untuk pelajar,” katanya.
Selain itu, Dapur HEP begitu menarik serta sangat meminimumkan kos dan tidak hanya terhad kepada golongan B40 malah terbuka kepada semua pelajar di dalam kampus.