BEAUFORT: Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu ini dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, majlis bermula jam 10 pagi itu akan menampilkan jamuan makanan, sumbangan kepada anak yatim dan persembahan artis tempatan.
Beliau berkata, sambutan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Katanya, orang ramai tanpa mengira latar belakang dialu-alukan hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Tambahnya, seramai 71 vendor dan 15 hotel terlibat dalam penyediaan jamuan.
Arifin turut mengingatkan orang ramai agar menyambut Aidilfitri secara sederhana dan tidak berbelanja berlebihan.
