Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas rumah atas air didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Mumiang, Sandakan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.19 malam itu, mangsa berusia 77 tahun ditemukan di dalam rumah tersebut.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba menggunakan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk ke lokasi berikutan tiada laluan darat.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 20×30 kaki yang musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa ditemukan lebih awal oleh Pasukan Gerakan Am sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi berdepan cabaran termasuk keadaan air laut surut yang menjejaskan pergerakan ke lokasi.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam.
