TAWAU: Seorang pengawal keselamatan berdepan detik cemas apabila hampir diserang ular sawa seberat kira-kira 60 kilogram ketika melakukan rondaan di Kolej Komuniti Tawau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.27 malam itu, mangsa sempat mengelak selepas menyedari kehadiran reptilia berkenaan dari arah belakang.
Jurucakap APM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum empat anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, ular sawa sepanjang kira-kira 5.5 meter itu ditemui di kawasan stor automotif dan dipercayai telah memakan dua ekor kucing.
“Ular itu bertindak agresif sehingga alat penjerut bengkok akibat kekuatannya,” katanya.
Bagaimanapun, ular berkenaan berjaya ditangkap dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Ular itu kemudian diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
