16 individu ditahan di Labuan kerana tidak hormati Ramadan

LABUAN: Seramai 16 individu ditahan kerana didapati tidak menghormati bulan Ramadan sepanjang pelaksanaan Ops Rahmah Ramadan @ Labuan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.

Operasi berkenaan dilaksanakan bermula 1 hingga 19 Ramadan 1447H di beberapa lokasi tumpuan termasuk premis makanan, kawasan pantai dan taman rekreasi, pasar raya serta kawasan industri sekitar Labuan.

Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Sazali Ridthouddin Shahbudin, berkata tindakan penguatkuasaan dilakukan hasil maklumat orang awam serta pemantauan dan rondaan berkala oleh Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA).

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

“Mereka akan diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI bagi melengkapkan siasatan sebelum kes dirujuk kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS) untuk tindakan selanjutnya di Mahkamah Syariah,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu yang tidak berpuasa serta makan atau minum secara terbuka di khalayak ramai boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.