Keselamatan agenda utama pembangunan Sabah di bawah SMJ 2.0

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan berkompromi dalam memperkukuh keselamatan negeri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata keselamatan yang kukuh penting bagi memastikan potensi Sabah sebagai hab Ekonomi Biru di ASEAN Timur dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Menurutnya, kedudukan strategik Sabah di laluan perdagangan serantau serta kekayaan biodiversiti laut memberi peluang besar kepada negeri itu untuk membangunkan sektor maritim.

“Dalam kerangka SMJ 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu melalui pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pelancongan marin dan peningkatan infrastruktur pelabuhan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata semua potensi itu hanya dapat direalisasikan sekiranya keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin.

Sabah mempunyai garis pantai lebih 1,400 kilometer dan memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan keselamatan negara di Borneo serta di Laut Sulu.

Di Sabah Timur, kawasan Zon Selamat Sabah Timur meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Kawasan itu diperkukuh melalui peranan Eastern Sabah Security Command yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah.

Hajiji berkata pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, malah membuka peluang pembangunan bandar sempadan sebagai hab ekonomi baharu melalui perdagangan rentas sempadan, logistik dan pelabuhan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kuih-muih sempena Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai peranan petugas kesihatan dalam menangani penyakit berjangkit seperti Tuberkulosis, terutama di kawasan luar bandar dan pesisir negeri.