KOTA BELUD: Isu pengairan yang menjejaskan usaha penanaman padi di Kampung Piasau Dundau dibincangkan bersama penduduk dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian segera.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata beliau turun padang ke kampung berkenaan bagi melihat sendiri keadaan sistem pengairan yang telah dilaporkan sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan para petani dapat kembali menanam padi di kawasan berkenaan.
“Kita berada di Kampung Piasau Dundau melihat keadaan pengairan yang telah pun dilaporkan sejak tiga tahun lalu untuk mendapatkan penyelesaian supaya penduduk dapat menanam padi,” katanya ketika melawat sungai di kampung itu pada 9 Mac.
Jamawi berkata petani dijangka dapat memulakan semula penanaman padi pada musim penanaman utama Ogos ini.
Beliau turut memberi jaminan akan kembali ke kampung tersebut pada Julai depan bagi memastikan segala perkara yang dipersetujui dilaksanakan.
Lawatan itu turut disertai Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, Hj Siraja Bashora serta wakil jabatan berkaitan.
