KOTA KINABALU: Rakyat Sabah khususnya di daerah yang terkesan dengan bencana banjir perlu sentiasa bersiap-siaga.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, semua pihak perlu berwaspada dengan amaran memandangkan cuaca buruk akan membawa kepada banjir kilat khususnya di lima daerah negeri ini.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kelima-lima daerah.
“Setakat jam 1 pada Ahad, seramai 1,161 mangsa banjir dari 399 keluarga telah dipindahkan ke PPS di Telupid (3 PPS), Kota Marudu (7 PPS), Paitan (2 PPS), Beluran (1 PPS) dan Sandakan (1 PPS).
“Pasukan keselamatan juga telah diarahkan untuk turun ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa serta bersiap-siaga di kawasan yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bantuan makanan kecemasan juga sedang disediakan untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir oleh agensi berkaitan secepat mungkin.
Hajiji memberikan jaminan bahawa keselamatan penduduk adalah keutamaan kerajaan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Kerajaan negeri juga akan memastikan semua agensi dalam negeri ini bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan,” katanya.
Pada 29 Disember 2021, Hajiji telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah diaktifkan untuk bersiap-siaga dengan cuaca buruk melanda Pantai Tumur dan Utara Sabah.
Beliau juga akan hadir dalam Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir Monsun Timur Laut secara maya yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.