KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai presiden baharu Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM semalam sekali gus adalah satu daripada tujuh usul yang diluluskan sebulat suara pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022, Sabtu lalu.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM semalam bersidang dan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan sebulat suara dalam PAT 2022.
“Antara usul yang diterima sebulat suara adalah untuk melantik Zuraida sebagai Presiden PBM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi sudah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan perlembagaan parti berhubung pelantikan itu.
“Majlis Tertinggi dan seluruh ahli PBM mengucapkan tahniah di atas pelantikan ini dan mendoakan Zuraida terus diberi kekuatan bagi meneraju parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kita juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Larry Sng yang memimpin parti sebelum ini,” katanya.
Minggu lalu, Larry dalam satu kenyataan di Facebooknya menegaskan beliau masih presiden PBM dan tidak akan meletakkan jawatan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.
Beliau dilaporkan berkata, proses peralihan kuasa susulan keputusan parti itu melantik Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang sebagai ‘presiden pengganti’ perlu dilaksana mengikut prosedur yang sewajarnya.