Zon merah di Sabah semakin kurang: Masidi

Masidi Manjun (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Zon merah COVID-19 di Sabah semakin berkurangan dengan hanya lima daerah masih berada dalam zon itu setakat ini.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata lima zon merah berkenaan adalah Keningau yang mencatatkan lapan kes hari ini, diikuti Kalabakan (enam), Kota Kinabalu (empat) dan masing-masing tiga di Tawau dan Nabawan.

Katanya, bagi daerah zon kuning pula membabitkan 14 daerah iaitu Tambunan, Tenom, Sipitang, Kunak, Putatan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tuaran, Papar, Beaufort, Telupid, Beluran, Ranau dan Pitas.

“Selain itu, tiga daerah dalam kategori zon hijau adalah Kuala Penyu, Semporna dan Tongod,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kes harian COVID-19 di negeri itu masih kekal dua angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini adalah 33 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,107 kes dan tiada sebarang kes kematian dilaporkan.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital adalah 79 orang menjadikan jumlah kumulatif 53,272 orang.

“Seramai 366 pesakit sedang menerima rawatan dengan 148 daripadanya di hospital, manakala 218 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply