Zahid nafi jadikan BN kerajaan untuk selesai kes mahkamahnya

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya beliau berusaha mengembalikan kerajaan UMNO, Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kes mahkamah.

Beliau berkata, ia sebaliknya satu propaganda politik yang dimainkan oleh sesetengah pihak terhadap dirinya.

“Propaganda saya mahu UMNO/BN bekerjasama dengan parti itu sudah berakhir. Begitu juga propaganda menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri terdahulu kerana tamakkan kuasa.

“Biar saya terangkan apa yang pernah berulang kali nyatakan sejak awal bahawa sesungguhnya saya bertekad untuk membersihkan nama saya di mahkamah,” katanya dalam laporan Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun ramai berpandangan ia adalah pendakwaan politik dan terpilih selepas mereka tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) angkara fitnah dan pembohongan tetapi beranilah atas nama kebenaran.

“Jika saya dan beberapa lagi pemimpin UMNO tiada ketabahan dan keazaman itu, pasti jauh berbeza keadaan kami ketika ini lebih selesa namun tunduk, layu dan lesu.

“Mungkin ini jua ketentuan Ilahi, asbab untuk perjuangan demi agama, bangsa, tanah air serta kebenaran semakin bersemarak dalam roh dan jasad parti ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sesungguhnya beliau terima dakwaan sedang berusaha untuk mengembalikan kerajaan UMNO/BN kerana itu tanggungjawab serta fungsi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.