KOTA KINABALU: Pusat U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan webinar dalam talian melalui Program 3S: STEM Speaker Series sebagai usaha menyemarakkan budaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.
Terbaru, program yang diadakan dengan kerjasama MySTEM Ambassador itu telah membicarakan webinar bertajuk Seni Bela Diri dan STEM.
Webinar tersebut disampaikan Ketua Bahagian Perkhidmatan Akademik UMS, Darwis Awang selaku penggiat seni bela diri yang berpengalaman.
Katanya, seni bela amat penting dalam kehidupan seharian.
“Selain sebagai satu kemahiran mempertahankan diri, seni bela diri ini juga menyumbang kepada kesihatan tubuh badan dan mental seseorang melalui fokus latihan yang dijalankan.
“Ada pelbagai jenis seni bela diri di dunia seperti, Pencak Silat, Taekwando, Aikido, dan bermacam-macam lagi,” katanya.
Webinar yang bersiaran secara langsung di aplikasi Webex dan saluran Youtube Pusat Uscience UMS berjaya menarik lebih 500 peserta.
Dengan durasi selama lebih sejam, siarannya boleh diikuti semula melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=MdC0oawCqt4.
Webinar bersiri yang diadakan sejak tahun 2021 itu turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Sabah.