KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee tidak mempunyai pendirian moral untuk menasihati mana-mana pihak untuk bertanding mahupun melibatkan diri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata biarpun Yong berhak untuk menyuarakan pendapatnya tetapi beliau selalu Presiden SAPP sendiri tidak mempunyai pendirian yang jelas.
“Beliau (Yong) selaku Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan GRS menyokong Kerajaan Perpaduan tetapi pada masa sama SAPP juga merupakan sebahagian daripada parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Apakah beliau lupa bawa dia sendiri hadir ke mesyuarat PRN enam negeri baru-baru ini dianjurkan PN pada 17 Julai lepas. Sebelum menasihatkan mana-mana parti, cermin diri sendiri dulu dan nyatakan beliau menyokong Kerajaan Perpaduan atau PN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Yong baru-baru ini menyarankan GRS bergerak solo dan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah pada PRN akan datang.
Jeffery yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan menyifatkan kenyataannya Yong itu juga seperti lupa diri pembentukan awal Kerajaan Negeri Sabah adalah diantara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Barisan Nasional (BN) Sabah.
Katanya Yong mendapat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik dan selepas itu berlaku sedikit pergeseran tetapi perubahan itu tidak terjadi kerana Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong Kerajaan Negeri sekarang.
“Kenyataan (Yong) ini berlaku selepas keputusan PRN enam negeri di Semenanjung…perlu diingat senario politik ketika ini sangat dinamik dan tidak boleh keputusan di PRN enam negeri dianggap sebagai merit kepada pencapaian Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Jika ini kenyataannya, saya cabar untuk beliau (Yong) membuat kenyataan untuk tidak menyokong Kerajaan Perpaduan sekarang dan meminta GRS juga menyatakan sokongan yang sebenar-benar mengenai pendirian mereka terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Justeru itu, Jeffery berkata sudah tiba masanya untuk Yong menyatakan pendirian sebenar SAPP bahawa adakah mereka bersama Kerajaan Perpaduan atau PN.
“Jangan jadi talam dua muka. Kamu tidak boleh jadi penyokong Kerajaan Perpaduan tetapi pada masa sama memegang jawatan Timbalan Pengerusi PN. Oleh itu, saya cabar beliau untuk menyatakan pendiriannya kerana itu bagi saya adalah perkara yang lebih mustahak,” kata Jeffery.