KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membincangkan soal kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata fokus pada masa ini ialah melaksanakan agenda pembangunan negeri.
“Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah untuk pilihan raya negeri yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam GRS.
“Ini kerana fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, mengenai kerusi DUN untuk GRS pada PRN akan datang.
Nizam berkata, kenyataan Teck Lee yang juga Timbalan Pengerusi GRS sebelum ini mengenai cadangannya agar GRS bertanding di semua 73 kerusi DUN hanyalah pandangan peribadinya.
“Kita menghormati pandangan beliau ini namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri dibawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika ini dalam kedudukan yang stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dalam GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.
“Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali ketika kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan Parti Warisan (WARISAN) dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah,” katanya.
Nizam menegaskan sokongan dan kerjasama yang terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta.