PAPAR: Seramai 114 Pegawai Teknikal lantikan kontrak akan ditempatkan di semua 38 pejabat daerah seluruh Sabah bagi memperkasakan pelaksanaan pembangunan projek kecil di kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata tiga Pegawai Teknikal terdiri daripada seorang jurutera dan dua penolong jurutera akan ditempatkan di kesemua pejabat daerah sebagai usaha menambah pasukan teknikal.
“Proses temu duga telah diadakan baru-baru ini dan kita berharap mereka dapat ditempatkan di kawasan masing-masing dalam masa terdekat agar pelaksanaan projek pembangunan dapat dilaksanakan segera.
“Sebelum ini kerajaan Persekutuan telah menurunkan kuasa untuk membolehkan pihak pejabat daerah melaksanakan sendiri projek kecil kerajaan khususnya daripada Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya, namun ia telah menimbulkan kekangan sehingga projek itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya di sini hari ini.
Armizan berkata susulan daripada masalah berkenaan, kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah bersetuju untuk melantik Pegawai Teknikal lantikan kontrak itu untuk ditempatkan di pejabat daerah di seluruh Sabah.
“Kita harap masalah ini dapat diselesaikan… semua projek pembangunan yang telah ditetapkan di daerah masing-masing dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program Bicara Kemerdekaan berkenaan beliau berkata ia perlu dianjurkan di setiap sekolah bagi memastikan pelajar mengetahui erti sebenar kemerdekaan.
“Sangat penting untuk pelajar tahu pengorbanan tokoh-tokoh dahulu yang memastikan negara kita merdeka dan bebas daripada jajahan.
“Selain itu, pelajar juga perlu didedahkan erti kemerdekaan sebenar dalam konteks pada masa ini yang mahu negara terus harmoni dan maju dari segi ekonomi,” katanya.