Wujudkan peruntukkan atlet Sabah, Sarawak menyertai kejohanan di Semenanjung – Suryady

KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan disaran menyediakan bantuan kewangan kepada atlet dari Sabah dan Sarawak menyertai kejohanan sukan di Semenanjung Malaysia.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, kos penghantaran atlet ke Semenanjung bertanding dalam acara sukan sangat tinggi, dan sokongan kewangan daripada kerajaan pusat.

Katanya, langkah ini sudah tentu sangat diperlukan untuk meringankan beban  ditanggung oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Ini akan memastikan semua atlet, terutama dari Sabah dan Sarawak, dapat menyertai kejohanan dan seterusnya menggalakkan lebih ramai atlet dari kedua-dua negeri ini untuk terus berkembang dalam bidang sukan,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, di semalam.

Suryady berkata, peruntukan ini juga dilihat penting dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian sukan negara secara keseluruhan, dengan melibatkan lebih ramai atlet dari luar Semenanjung.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah pusat pangkalan data untuk usahawan belia bagi mempromosikan dan menyokong keusahawanan dalam kalangan golongan muda.

Menurutnya, pusat ini akan memberi akses kepada maklumat, sumber yang relevan, serta membantu usahawan muda membina rangkaian dengan mentor dan pelabur.

“Pangkalan data ini juga akan memudahkan usahawan muda mengenal pasti peluang perniagaan, mengikuti perkembangan industri, serta mendapatkan latihan dan bimbingan yang diperlukan.

“Ia juga akan memberi sokongan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam merancang dasar dan program yang lebih berkesan,” katanya.

Suryady yakin penubuhan pusat pangkalan data ini dapat membantu meningkatkan hasil perniagaan serta kapasiti usahawan muda melalui pemantauan dan analisis data secara berkala.