KOTA KINABALU : Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr Yusof Yacob menyampaikan bantuan QSB bagi menampung rawatan hemodialisis dua pesakit buah pinggang, Murpi Duriat dan Zull Hakimi Sabbinin.
QSB sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, menaja dua pesakit ini untuk rawatan dialisis, yang berharga RM50,000 setiap pesakit setahun.
Kedua-dua mereka menjalani rawatan di Pusat Dialisis UMS-YKN Kingfisher, Likas.
Bercakap kepada media di majlis itu, semalam, Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, Qhazanah berperanan sebagai syarikat Kerajaan Negeri bagi membangun Negeri Sabah melalui projek-projek di bawah anak-anak syarikat.
Dalam masa sama, katanya, Qhazanah juga membayar dividen kepada Kerajaan Negeri dan menyediakan peluang pekerjaan menerusi anak-anak syarikat.
“Kami juga tidak melupakan sumbangan kepada masyarakat terutama B40. Untuk itu, Qhazanah telah memperuntukkan sebahagian daripada dana dengan menubuhkan Yayasan Qhazanah.
“Jadi melalui Yayasan ini kita melaksanakan beberapa aktiviti jangka pendek dan jangka panjang, contohnya bantuan kepada yang memerlukan,” katanya sambil menambah fokus diberikan kepada pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, bantuan kepada dua pesakit buah pinggang ni selepas mendapati masih ramai pesakit buah pinggang di negeri ini memerlukan tajaan untuk menerima rawatan dialisis.
Pada masa yang sama, beliau berharap lebih ramai pihak tampil khususnya syarikat berkaitan kerajaan yang lain membantu pesakit-pesakit buat pinggang untuk menerima rawatan dialisis.
Tambahnya, kira-kira 15.5 peratus penduduk di Malaysia mempunyai masalah buah pinggang.
Hadir sama pada majlis itu, CEO Kumpulan QSB Datuk Ahmad Rizal Dahli, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Shim Jyh Ye, Pengarah Hospital UMS Prof Madya Dr Maleha Datuk Mohd Noh, Pengarah Hospital Queen Elizabeth 1 Dr William Gotulis dan CEO Qhazanah Healthcare Mohammad Khairulnizam Hasnan.