Dr. Davina Menyeru Belia wanita Sabah untuk Sertai Kempen Derma Darah ‘Lead With Life”

KOTA KINABALU : Pengerusi Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Dr. Davina Markus Majihi menyeru orang ramai, terutamanya golongan belia wanita yang belum pernah menderma darah, untuk “tarik lengan baju” dan membuat perubahan.

Katanya, bekalan darah di bank darah Sabah yang sentiasa berada pada tahap paling rendah.

Davina menekankan keperluan mendesak bagi penderma baru untuk tampil pada kempen derma darah dan kesihatan ‘Lead With Life’ yang akan diadakan pada 9 hingga 10 November 2024 di Tingkat 4, SICC.

“Inilah peluang bagi belia wanita dan semua penderma baharu untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.

“Hanya 30 minit masa anda sudah dapat memberikan makna yang besar kepada seseorang yang memerlukan—sama ada mangsa kemalangan, pesakit Thalassemia, pesakit kanser, atau mereka yang menjalani pembedahan yang memerlukan darah untuk menyelamatkan nyawa,” katanya di sini semalam.

Melalui program ‘Lead With Life’, kempen derma darah ini dapat mewujudkan ruang yang selesa khususnya untuk penderma baru.

Kempen ini akan menawarkan panduan tentang proses derma darah, pemeriksaan pergigian dan kesihatan percuma, serta sudut kawasan penghargaan eksklusif untuk penderma di mana mereka boleh menikmati hidangan ringan, menerima sijil, dan merakam foto kenangan. 

Bank darah Sabah kini menghadapi kekurangan bekalan yang kritikal, dan Dr. Davina menegaskan perlunya sokongan penuh daripada masyarakat.

“Setiap titisan darah dapat memberikan impak seumur hidup. Saya mengajak belia Sabah, terutamanya para wanita, untuk bersama-sama dalam usaha menyelamatkan nyawa ini,” tambah beliau.

Bagi mengelakkan daripada masa menunggu yang lama, sesiapa yang berminat untuk menderma darah boleh membuat temu janji menerusi whatsapp ke talian 011-26361928.