Wong Thien Fook Dijangka Warnai Saingan Panas DUN Inanam

KOTA KINABALU: Suasana politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam semakin memanas apabila khabar bertiup bahawa Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook, bakal dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17.

Nama beliau kini hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong akar umbi yang melihat kemunculan semulanya sebagai satu ‘come back’ yang dinantikan.

Wong bukan nama asing di Inanam. Beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang komited memperjuangkan pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai inisiatif kebajikan dan program pembangunan telah dilaksanakan, termasuk bantuan kepada golongan berpendapatan rendah serta penganjuran aktiviti kemasyarakatan yang memperkukuh perpaduan penduduk.

Keakraban Wong dengan masyarakat menjadi kekuatan utama yang sukar ditandingi. Beliau terkenal dengan pendekatan mesra rakyat, mudah didekati dan tidak gemar menonjolkan diri.

Sikap sederhana serta keikhlasan dalam perkhidmatan menjadikan beliau disegani bukan sahaja dalam kalangan ahli parti, malah turut dihormati oleh pihak lawan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Cyril Supain, Wong memiliki kelebihan tersendiri dari segi pengaruh akar umbi serta keupayaan mendekati masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Rakyat melihat beliau sebagai calon yang berpotensi membawa suara Inanam ke peringkat lebih tinggi, berbekalkan pengalaman luas serta jaringan kukuh dalam pembangunan tempatan,” katanya.

Sumber dalaman UPKO pula mengesahkan bahawa nama Wong antara yang sedang dipertimbangkan dalam rundingan awal bagi menentukan calon pilihan parti.

Bagaimanapun, keputusan rasmi masih tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan tertinggi UPKO dan rakan komponen Pakatan Harapan (PH).

Sekiranya dicalonkan, Wong dijangka berdepan saingan sengit daripada parti lawan yang mahu menawan semula kerusi panas berkenaan.

Menjelang PRU DUN Sabah ke-17, kemunculan semula Datuk Wong Thien Fook dilihat mampu menyuntik semangat baharu dalam landskap politik Inanam.

Pemerhati politik berpendapat, beliau bukan sekadar calon berpengaruh, tetapi simbol harapan baharu bagi rakyat yang mahukan wakil benar-benar dekat dengan denyut nadi masyarakat.