KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi membanggakan negara apabila Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) di bawah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC).
Ini sekali gus menjadi tumpuan saintis antarabangsa selepas menerima lawatan delegasi dari Akademi Sains Rusia (Russian Academy of Science – RAS) baru-baru ini.
Delegasi berprestij itu diketuai oleh Presiden Far Eastern Branch (FEB) RAS, Prof. Dr. Yuri Kulchin, bersama Naib Presiden FEB RAS, Prof. Dr. Pavel Krestov, dan Ketua Jabatan RAS, Marina Shtets yang teruja meninjau sendiri kejayaan UMS membangunkan model pengurusan bencana berasaskan komuniti di Kg. Melangkap Baru, Kota Belud.
Lawatan itu bertujuan menilai secara dekat keberkesanan model Makmal Hidup Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti (Community-Based Disaster Risk Management, CBDRM) yang dibangunkan oleh NDRC UMS, sekali gus memperlihatkan keupayaan penyelidikan tempatan menyaingi piawaian antarabangsa.
Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Dr. Carolyn M. Payus, lawatan ini bukan sahaja mengiktiraf inovasi pengurusan bencana yang digerakkan oleh komuniti tempatan di Sabah,
Ini turut memperkukuh kedudukan UMS sebagai pusat rujukan serantau dalam penyelidikan bencana dan perubahan iklim.
“MaHBAM berfungsi sebagai makmal lapangan yang menggabungkan sains, teknologi dan komuniti.
“Ia membuktikan bahawa penyelidikan bukan sekadar teori, tetapi mampu mencipta sistem pengurusan bencana yang berdaya tahan serta inklusif,” katanya.
Delegasi Rusia itu turut dibawa meninjau Bilik Operasi MaHBAM dan sensor amaran banjir pintar yang dibangunkan oleh Makmal Hidup Impact Sense: Laboratory for Physics-Driven Sensing and Social Innovation.
Ini termasuk hasil kerjasama antara penyelidik UMS dan komuniti Kg. Melangkap Baru di Polumpung Melangkap View Camp Site.
Selain lawatan lapangan, delegasi berkenaan turut mengadakan pertemuan rasmi bersama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, bagi membincangkan potensi kolaborasi penyelidikan dalam bidang pengurusan bencana dan adaptasi perubahan iklim.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosalam Sarbatly, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Dr. Rodeano Roslee, serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien.
Lawatan berimpak tinggi itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan UMS memperkukuh jaringan penyelidikan global, seiring aspirasi universiti itu menjadi universiti lestari dan berimpak global.
Sesi lawatan diakhiri dengan taklimat teknikal sistem pemantauan gempa bumi (SEISCOMP3) oleh Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran, di Makmal NDRC UMS.
