KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berpandangan bayaran interim RM1.5 bilion yang diumumkan kerajaan Persekutuan masih belum mencerminkan jumlah sebenar hak 40 peratus Sabah.
Menurut beliau, berdasarkan anggaran hasil yang disumbangkan Sabah kepada Persekutuan, negeri itu sepatutnya menerima sekurang-kurangnya RM5 bilion bagi tahun ini.
Katanya, rakyat Sabah memahami bahawa bayaran interim tersebut bukan penyelesaian muktamad kepada tuntutan hak perlembagaan yang telah lama dibangkitkan.
“Bayaran interim adalah langkah sementara, namun pelaksanaan penuh hak Sabah perlu terus diperjuangkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan rayuan yang difailkan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan hak 40 peratus Sabah.
Jeffrey turut menggesa supaya diwujudkan mekanisme bebas bagi mengesahkan hasil yang diperoleh daripada Sabah serta menentukan jumlah sebenar hak yang perlu dibayar kepada negeri itu.
