TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Manahing Tinggilani menggesa tindakan segera diambil bagi menangani masalah jalan rosak di kawasan Merotai-Kalabakan dan Bergosong-Wallace Bay yang didakwa semakin membimbangkan.
Beliau berkata, kemalangan maut yang berlaku baru-baru ini perlu dijadikan peringatan bahawa isu keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, penduduk telah lama berdepan keadaan jalan yang rosak dan berisiko namun masih menunggu pelaksanaan kerja pembaikan secara menyeluruh.
“Rakyat mahu melihat tindakan sebenar dan bukan sekadar kenyataan bahawa isu ini sedang dalam perhatian atau dalam tindakan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan status peruntukan yang diumumkan sebelum ini serta mengemukakan pelan jangka panjang bagi memastikan kemudahan jalan raya di kawasan terbabit berada pada tahap yang selamat.
Katanya, keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan kerana setiap kelewatan dalam menangani masalah infrastruktur boleh membawa risiko yang besar kepada pengguna jalan raya.
