KOTA KINABALU : Parti Warisan (Warisan) memutuskan untuk bergabung dengan rakyat Sabah sekali gus memberi keutamaan terhadap keperluan menyelesaikan masalah rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan lebih fokus untuk mendengar rayuan serta berusaha selesaikan isu membelenggu rakyat Sabah membabitkan bekalan air bersih, elektrik serta kemudahan sistem jalan raya yang baik.
Katanya, jika hanya memikirkan tentang gabungan parti sudah tentu isu perebutan kerusi akan menjadi keutamaan mereka.
“Parti yang bergabung itu nanti hanya mahukan jawatan menteri serta projek…Tetapi jika kita (Warisan) bergabung dengan rakyat sudah tentu mereka akan suarakan sendiri isu air supaya kita menyelesaikannya segera.
“Rakyat Sabah kini dibelenggu isu yang gagal diselesaikan kerajaan sekarang iaitu mereka mahu peluang pekerjaan, sekolah, kemudahan rawatan hospital serta kemudahan jalan raya yang sangat baik,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mohd Shafie berkata, ini antara merupakan agenda penting Warisan sebagai langkah untuk menetapkan sasaran bergabung dengan rakyat bagi menghadapi PRN yang akan datang.
Mengulas mengenai calon bertanding atas tiket Warisan pada PRN Sabah kali ini beliau berkata, sudah tentu calon tersebut akan dipilih mewakili bahagian-bahagian sedia ada bagi memastikan kawasan diwakili akan menang nanti.
“Faktor lain…Jangan melompat, kita sudah ada pengalaman sebelum ini. Jadi ini merupakan antara menjadi asas pertambangan serta krateria calon penting untuk mewakili Warisan pada PRN Sabah kali ini.
“Kita tidak mahu nanti selepas menang rakyat akan mengeluh, sukar untuk berjumpa dengan wakil rakyat mereka untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka,” jelas Mohd Shafie.
Dalam tempoh sama beliau juga melahirkan keyakinan bahawa Warisan boleh menang kerusi di kawasan Pantai Barat Sabah berdasarkan sokongan padu rakyat pada masa ini.
“Warisan dulunya mempunyai Wakil Rakyat di kawasan Sindumin Sipitang, Banggi, Tanjung Kapor Kudat serta kini terdapat beberapa ADUN di kawasan Pantai Barat.
“Kita tidak mahu mendengar Warisan hanya menang di kawasan Pantai Timur….Kali ini keutamaan kita adalah rakyat Sabah sentiasa didahulukan, kita bersama-sama mereka,” kata Mohd Shafie.